Helo! Semua. Dah lama rasanya aku tak kemaskini blog ni. Pembaca pun mungkin ada dan mungkin tidak. Tapi tidak mengapa aku nak kemaskini juga blog ni. Hari ni aku nak bercakap mengenai talian telefon pascabar yang mana aku akan fokus lebih kepada cara membatalkan talian. Semalam aku baru batalkan satu talian pascabayar. Aku rasa rimas kalau ada dua nombor telefon ni walaupun aku ada telefon bimbit. Cukuplah satu saja. Senang dan mudah tidak perlu pening-pening dan boleh jimatkan duit.

Untuk talian Maxis, nak batalkan talian senang je. Aku pernah buat dengan cara hantar mesej di laman sosial X atau lebih dikenali sebagai Twitter. Aku tak tahu kenapa si Elon Musk tu tukar nama laman sosial tersebut kepada X. Aku rasa nama Twitter tu lagi senang dan mudah serta sudah sebati dalam ingatan dari nama baru tu. Baiklah, seperti yang aku cakap nak batalkan talian Maxis cuma perlu hantar mesej ke akaun sosial Maxis saja iaitu MaxisListens. Lepas semua maklumat sudah disahkan, mereka akan aturkan panggilan balik dalam beberapa hari. Aku rasa itu untuk mereka lakukan “pengekalan pelanggan” lah kot. Tapi aku tak angkat la panggilan dari 123 tu. Ye Maxis guna 123 kalau mereka buat panggilan balik. Lepas tu aku dapat mesej kata talian aku akan dibekukan selama maksimum 6 bulan yang mana selepas itu kalau tiada pengaktifan akan secara otomatik terbatal. Kau akan dapat mesej atau e-mail. Aku dah lupa. Ini sangat membantu lebih-lebih lagi bagi mereka yang jauh dari bantar atau malas nak keluar. Cuba bayangkan kalau kau tinggal di kawasan pedalaman. Tidak ke agak sulit untuk kau mencari pusat Maxis.

2 hari lepas aku telefon Celcom untuk tanya macam mana nak batalkan talian telefon. Pegawai khidmat pelanggan tu kata aku kena pergi ke pusat perkhidmatan Celcom (CelcomDigi) untuk batalkan talian. Aku sangat yakin aku tidak boleh buat pembatalan melalui panggilan telefon. Lepas tu pusat perkhidmatan Celcom cuma ada di tempat-tempat tertentu saja. Pusat beli-belah One Utama yang besar tu tak ada pusat perkhidmatan mereka ye. Yang itu rakan perniagaan saja. Jadi tak boleh buat pembatalan di sana. Dia kata di TTDI ada. Aku cakap kau nak daftar perkhidmatan senang saja. Boleh daftar di atas talian dan kad sim akan dihantar ke rumah. Tapi nak batalkan perkhidmatan tu kena la pula pergi ke pusat perkhidmatan mereka. Agak leceh dan menyusahkan lebih-lebih lagi kalau kau tinggal di kawasan kampung-kampung atau pekan-pekan yang tiada pusat perkhidmatan mereka. Talian UMobile pun kalau tak silap kena pergi ke pusat perkhidmatan mereka kalau nak batalkan talian sebab aku terpaksa menapak ke Berjaya Times Square semata-mata untuk batalkan talian yang mana aku dah batalkan bertahun lamanya namun secara tiba-tiba aku dapat e-mail menyatakan talian aku diaktifkan. Tak ke kau rasa macam “eh! eh! bagaimana ini terjadi?”. Jawapan yang aku dapat dari mereka pula tidak memuaskan dan agak meragukan. Nak tak nak aku bayar je untuk tamatkan talian. Kalau tak silap pakej tu pakej RM 28 kot. Yang pakej murah tu. Sekarang dah tak ada.

Jadi begitulah kisah aku dan bembatalan talian pascabar.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *